Home Panduan Berbaki RM6.9 Bilion, Semak Wang Tidak Dituntut Secara Online

Berbaki RM6.9 Bilion, Semak Wang Tidak Dituntut Secara Online

2064
0

Wang Tidak Dituntut atau WTD merupakan sejumlah wang yang menjadi milik mana-mana individu atau sesebuah syarikat yang kini berada dalam simpanan Jabatan Akauntan Negara (JANM). Wang itu mungkin dalam bentuk akaun simpanan, tuntutan insurans, dividen, bank draf atau pelbagai lagi.

Selepas tempoh tertentu entiti-entiti berkaitan seperti pihak bank dan syarikat insurans akan menyerahkan wang itu kepada JANM atau mana-mana wang yang sepatutnya dibayar kepada pemiliknya tetapi belum dibayar akan diklasifikasikan sebagai WTD dan diperakui sah mengikut undang-undang.

Contoh mudah, anda mempunyai wang simpanan dalam satu akaun di sebuah bank. Mungkin nilainya tidak seberapa menyebabkan hinggakan anda tidak menghiraukan wang itu. Selepas tempoh tertentu pihak bank akan menutup akaun tersebut dan baki wang akan diserahkan sebagai WTD.

Contoh lain, anda membuat tuntutan elaun harian hospital kepada sebuah syarkat insurans. Mungkin kerana nilainya juga tidak banyak, anda terlupa bertahun untuk melunaskan cek yang telah diterima. Syarikat insurans juga akan menyerahkan wang itu sebagai WTD.

Terkini WTD yang berada dalam simpanan JANM masih berbaki RM6.932 sehingga 31 Oktober lepas. Banyak tu… Jumlah yang diberitahu semasa persidangan Dewan Rakyat semalam.

Menurut Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah, sebanyak RM10.862 bilion diterima jabatan itu dan RM2.085 bilion daripada jumlah itu telah dibuat bayaran semula.

Menurut beliau selepas ini orang ramai boleh menyemak WTD secara online. Kini JANM dalam peringkat membangunkan perisian sistem dalam talian yang dijangka diperkenalkan pada akhir tahun ini atau awal tahun depan untuk memudahkan semakan dibuat.

Ini bagi memudahkan rakyat Malaysia mengakses dan menyemak WTD dengan lebih cepat, cekap dan tepat. Juga bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat untuk menyemak baki wang mereka.

Semak Wang Tidak Dituntut

Bagi yang ingin menyemak, sebelum semakan secara online terlaksa, anda boleh kunjungi terus ke kaunter JANM seluruh negara dengan membawa bersama kad pengenalan (warganegara) atau passport (bukan warganegara)

Semakan yang melalui sistem JANM, biasanya mengambil masa kurang dari lima minit dan pegawai akan memaklumkan jumlah WTD kepada pemohon sekiranya ada. Selepas iitu anda boleh membuat tuntutan WTD.

Jika anda ingin membuat semakan bagi pihak waris yang telah meninggal dunia, dokumen sokongan diperlukan seperti sijil kematian, sijil perkahwinan, sijil kelahiran dan surat sokongan lain yang menyatakan hubungan dengan pewaris.

WTD tidak mempunyai tarikh luput dan semakan boleh dibuat pada bila-bila masa.

Untuk menuntut WTD, terdapat borang-borang tertentu yang perlu diisi. Borang-borang boleh dimuat turun JANM dengan mengklik Permohonan Tuntutan Wang Tak Dituntut (WTD).

Rajin-rajinlah ke kaunter JANM, sementara menunggu semakan secara online yang belum terlaksana. Mungkin ada tuah untuk anda seperti yang dikongsi seorang pengguna Facebook, Idah Binti Basri, WTDnya hampir keseluruhan hampir RM14 ribu…

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here